Oleh kerana puak-puak di dalam Umno Terengganu saling bertelagah di antara satu sama lain, kerajaan Umno negeri Terengganu telah mengabaikan pembangunan dan kebajikan di negeri tersebut kerana mereka asyik berpolitik, sehingga mengakibatkan runtuhnya Stadium Sultan Mizan di Kuala Terengganu baru-baru ini.
Runtuhan tersebut berlaku akibat daripada struktur bangunan yang tidak kukuh dan jelas terdapat elemen-elemen rasuah di dalam pemberian kontrak pembinaan tersebut sampailah ke peringkat kelulusan dan persijilan.
Sekiranya kerajaan Umno negeri Terengganu itu benar-benar mengutamakan pembangunan dan keperluan rakyat, runtuhan stadium yang sedemikian yang sungguh memalukan tidak akan berlaku. Kejadian tersebut telah benar-benar memalukan seluruh negara di mata dunia.
Tahukah apa yang akan berlaku jika sekiranya terdapat acara sukan dan keramaian yang sedang berlangsung di dalam stadium tersebut pada hari kejadian? Sudah pasti beratus-ratus orang akan mati ditimbus runtuhan tersebut. Malah besar kemungkinan juga ada orang kenamaan ataupun dari kalangan keluarga di raja akan turut menjadi mangsa akibat daripada kejadian tersebut.
Adakah kerajaan negeri ingin menunggu sehingga ada orang meninggal dunia barulah tindakan susulan diambil?Difahamkan bahawa pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak mengeluarkan Sijil Penyempurnaan Kerja terhadap stadium tersebut kerana mereka telah mengetahui struktur bangunan stadium tersebut tidak kukuh dan merbahayakan.
Tetapi kenapa pula pihak JKR tidak menghalang stadium tersebut daripada dibuka kepada orang ramai atau digunapakai walaupun mereka mengetahui stadium tersebut tidak selamat untuk digunakan?
Adakah mereka ini cuba merahsiakan sesuatu ataupun telah dirasuah oleh pihak-pihak tertentu agar perkara ini tidak dihebohkan kepada umum?Ini jelas menunjukkan bahawa elemen rasuah dan penyalahguna kuasa sememangnya sedang berlaku di dalam projek pembinaan stadium ini.