(dipetik daripada TranungKite.net)
Oleh: BayangDiAir
"Kalau kita menjadi rakyat yang cerdik, sudah cukup kita menghukum UMNO/BN dengan hal-hal penyelewengan dan rasuah dalam projek-projek pembangunan untuk rakyat. Di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Negara Eropah yang lain, pembayar cukai menyedari hak mereka dan tidak teragak-agak menggunakan hak mereka untuk menghukum kerajaan yang korup. Mereka tahu bahawa pembangunan negara menggunakan wang mereka yang dipotong dari cukai pendapatan dan ribuan cukai lain. Bezanya ialah wang rakyat itu bukan secara langsung keluar dari poket mereka. Kalaulah mereka berfikir sudah tentu mereka sedari bahawa wang mereka awal-awal lagi telah diambil oleh kerajaan melalui potongan cukai, duti import dan sebagainya.
Stadium runtuh adalah manifestasi pengurusan projek yang gagal. Sudah tentu berlaku penyelewengan dan urus tadbir yang tidak baik. Ini mengakibatkan kos yang melambung tinggi tetapi hasil kerjanya tidak memuaskan. Entah berapa juta lagi diperlukan pula duit rakyat untuk membaiki kerosakan. Rakyat, seperti dinyatakan tadi, tidak berasa apa-apa kerana duit tidak diambil dari poket mereka secara langsung.
Izinkan penulis, mendedahkan beberapa ‘projek menyakitkan hati’ di daerah Kemaman, yang penulis lihat dan ketahui. Para pembaca lain sudah pasti mempunyai lebih banyak maklumat tentang projek-projek kerajaan BN yang menyakitkan hati ini. Antaranya, mercutanda ala UFO di depan Balai Bomba, Taman Chukai Utama. Setelah habis hampir RM5 juta, ada hasilnya sekarang? Indahkah UFO itu (umpama UFO rosak yang mendarat di Chukai)? Satu lagi projek BN. Duit siapa tu? Siapa kaut untung? Kedua, Jambatan Sungai Pinang yang terbengkalai sudah dua tahun. Sampai ke hari ini, pengguna yang berulang-alik setiap hari terpaksa menanggung seksa. Jalan sementara tidak diturap, berlopak apabila hujan dan berlubang-lubang. Duit sudah habis berjuta-juta untuk projek itu tetapi apakah hasilnya kini? Siapa untung dari satu lagi projek kerajaan Barisan Nasional ini?
Ketiga, projek pembetungan sepanjang jalan Kampung Mak Chili Paya. Sudah berapa kontraktor yang meninggalkan tugas dengan tidak sempurna? Sudah berapa juta duit rakyat hangus tetapi kualiti buatannya amat menyedihkan. Ada tempat bertutup dan ada bahagian tidak bertutup sehingga membahayakan pengguna jalan raya. Itu belum pasti lagi pembentungan itu berjaya mengalirkan air ke sungai dengan sempurna. Sudahlah jalan di hadapan JPJ menghala ke arah parit dan jalan bertebingkan parit dalam yang tidak baiki. Apabila berlaku kemalangan dan kematian, barulah wakil rakyat BN turun padang.
Keempat, pergilah ke jalan dan lorong mana pun, sudah pasti kita akan sakit hati melihat jalan rosak yang tidak dibaiki. Rosaknya masuk berbulan-bulan tanpa tindakan kerajaan Barisan Nasional. Seolah-olahnya wakil rakyat tidak pernah melalui jalan itu dan wakil rakyat BN memang tidak peduli pun kesusahan rakyat. Mereka cuma ghairah hendak bagi projek besar kepada kroni-kroni mereka. Dan kontraktor kroni inilah yang membaham keuntungan untuk di bahagikan komisyen sesama mereka. Tengoklah Jalan Mak Lagam-Cheneh dan Pasir Gajah-Air Putih. Selesakah rakyat setelah habis wang berjuta.
Kelima, bocor di sana bocor di sini bermula dari Masjid Tengku Tengah Zaharah (Masjid Terapung) dan terkini Masjid Kristal kebanggaan Idris Jusoh. Macam mana projek yang melibatkan ratusan juta duit rakyat di bawah satu lagi projek Kerajaan Barisan Nasional boleh menjadi begitu rendah mutu buatannya. Apa yang dapat dibanggakan untuk pelancongan kalau pelancong didedahkan dengan baldi dan besen penadah air hujan.
Stadium runtuh adalah rentetan jambatan terbengkalai, pembentungan separuh masak, jalan beralun dan berlubang dan kebocoran di sana sini. Untuk dibaiki segala kerosakan ini, kerajaan akan menyuntik ratusan juta ringgit lagi. Poket dan akaun bank rakyat disedut lagi. Hanya rakyat yang tolol terus bermurah hati untuk memberi undi setiap kali pilihanraya untuk Barisan Nasional. Kalau kalian menjadi rakyat yang cerdik, penyelewengan dan korupsi dalam kerajaan sahaja pun sudah cukup untuk kalian menafikan undi untuk BN.