Jumaat, Mei 08, 2009

MB TRG AKAN DIGANTI?

Tersebar luas berita kononnya Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said akan ditukar pada 12 Mei ini (enam hari dari hari ini). Berita ini disebarkan di Kuala Lumpur. Orang di Terengganu mungkin tidak ramai yang mengetahuinya. Punca berita dikatakan terpancut keluar daripada mulut Ketua Perhubungan UMNO Terengganu yang dilantik oleh Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Hishamuddin Hussein bahawa Menteri Besar Terengganu akan diganti. Kalau bohong saya, bohonglah beberapa orang penting akhbar arus perdana.

Hishamuddin dalam pertemuan dengan sekumpulan kecil wartawan memberi hint berkenaan dan orang penting surat khabar bercakap mengenai perkara ini di mana-mana. Punca sebenar Ahmad Said mahu digantikan dikatakan dikaitkan dengan beberapa siri desakan 10 ADUN yang tidak berpuashati dengan Menteri Besar itu.

Sesiapa pun akan percaya dengan ‘hebahan awal itu’ kerana Hishamuddin, selain kini Ketua Perhubungan UMNO Terengganu, juga Naib Presiden UMNO. Lebih penting, ia rapat dengan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak. Sepupunya pun!

Hishamuddin juga dikatakan rapat dengan beberapa pemimpin Pemuda UMNO Terengganu yang dilihat rapat dengan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh. Menurut orang penting surat khabar, Hishamuddin membuat hebahan itu selepas bertemu dengan orang penting istana Terengganu beberapa hari lalu. Malah, dikatakan pertemuan di puncak bukit itu turut disertai beberapa ‘orang istana’ dan juga pegawai tinggi Kerajaan Terengganu.

Pegawai tinggi ini dikatakan ‘kurang senang’ dengan Ahmad Said malah beberapa kali bertukar pesanan ringkas (sms) dengan rakan-rakannya – malah dari Rome – bertanyakan ‘bila Ahmad Said akan diganti’.

Untuk rekod saya tidak diberitahu dengan jelas siapa orang istana dimaksudkan kerana aneh juga jika pertemuan diadakan di puncak bukit, apa gerangan ‘orang istana’ mahu menghadirkan diri.

Yang menariknya dikatakan juga, Ahmad Said turut dipanggil ke istana (istana mana saya tidak tahu) pada Isnin lalu. Apa hasil pertemuan itu tiada siapa yang tahu kerana dikatakan pertemuan ‘empat mata’.

Sejauh ini difahamkan, pertemuan antara Pengerusi dan Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Terengganu (Ahmad Said) belum berlaku. Sejak pulang dari mesyuarat UNESCO, Hishamuddin dikatakan sibuk.

Bagaimanapun, dilaporkan pertemuan tidak rasmi antaranya dengan beberapa kumpulan UMNO tertentu sudah berlaku. ’Ini tidak hairan kerana Hishamuddin kerap juga ke Kuala Terengganu kerana ada misi tersendiri yang beliau dan rakan-rakan Pemuda UMNO sahaja yang tahu.

Sehingga ini belum jelas apa janji ‘orang istana’ dengan Hishamuddin dan apa pula janji yang diberikan oleh istana kepada Ahmad Said.