Rabu, Mei 27, 2009

UMNO MENANTI SAAT KEMATIAN?

Nyawa Umno Berakhir Di Ubun-Ubun Najib ?

Oleh WFAUZDIN NS

Di bawah kepimpinan Najib Tun Razak Umno khususnya dan Bn, amnya terlalu mengharapkan agar imej Umno/Bn dapat dipulihkan daripada sakit tenat sewaktu penghujung era kepimpinan di bawah Pak Lah. Ahli-ahli Umno terutamanya percaya bahawa Najib pasti mampu memimpin Umno paling kurang pun setara dengan kepimpinan ayahandanya Allahyarham Tun Razak. Harapan mereka begitu tinggi dan takdir telah menentukan bahawa Najib telah diberi peluang untuk merealisasikan hasrat ahli-ahli dan penyokong Umno/Bn. Kini, Najib awal mula pertama mula mengorak langkah memperkenalkan `Satu Malaysia' sepertimana juga `Islam Hadhari ' diperkenalkan pada awal kepimpinan Pak Lah dahulu.

Misi penting Najib sebaik sahaja mengambil tampuk kepimpinan parti dan negara adalah memainkan peranan di dalam `skandal rampasan kuasa' di Perak. Pelbagai `misteri ' telah berlaku di Perak bermula semenjak `ghaib'nya 2 Adun dari PKR beberapa hari atas alasan kononnya `sakit'. Drama kemasukan seorang Adun dari Umno ke dalam PKR dengan `menipu' rakyat Perak di dalam satu ceramahnya kononnya beliau tidak lagi percaya kepada Umno terutamanya di bawah kepimpinan Najib. Puluhan ribu rakyat Perak yang hadir di dalam ceramah tersebut bersyukur ke hadrat Illahi kerana `terbuka'nya hati Adun tersebut untuk bersama rakyat memperjuangkan keadilan.

Namun, nikmat yang diberi oleh Allah kepada Adun tersebut tidak lama kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib seseorang, melainkan dengan usaha dan kekuatan semangat orang itu sendiri. Adun tersebut memilih untuk terus senang bersama pemimpin yang berkuasa dan tidak sanggup susah untuk bersama rakyat. Beliau berpaling tadah, beliau mempersetankan janji-janjinya kepada rakyat.

Begitu juga halnya yang berlaku terhadap seorang Adun dari DAP yang mempersembahkan `drama' yang berlainan. Beliau mempersia-siakan perjuangannya selama ini di dalam DAP serta mengecewakan puluhan ribu rakyat yang sentiasa sanggup susah bersamanya dahulu.

Semua kisah ini tidak berakhir setakat itu sahaja. Peristiwa Persidangan Dun di bawah pokok telah menjadi satu sejarah hitam demokrasi di Perak. Kemuncaknya, demokrasi di Perak punah ranah apabila Persidangan Dun yang terakhir diadakan menyaksikan Speaker Dewan telah dihina-sehinanya. Paling mendukacitakan apabila Raja Muda Perak terpaksa `menunggu' berjam-jam untuk menyampaikan titah kepada seluruh Adun akibat salah laku dan kesombongan mereka yang tamak kuasa ketika itu.

Apabila Dewan dihina, Speaker dihina dan Raja Muda juga terhina oleh mereka sedemikian rupa, apakah yang ada lagi di bumi Perak sekarang ? Menyedari bahawa Dewan Undangan Negeri tidak lagi berupaya berfungsi untuk melaksanakan demokrasi, maka mahkamah adalah pilihan mereka. Apa yang berlaku di dewan kesemuanya dibawa ke mahkamah bukan kembali kepada rakyat yang menentukan keahlian mereka di dewan.

Mahkamah di dunia tidak seperti mahkamah di akhirat kelak. Mahkamah di dunia sentiasa boleh dicabar dan tiada jaminan bahawa mahkamah itu akan berlaku adil atau pun tidak melakukan kesilapan.Kisah tragis ini masih berterusan dan rakyat Perak semakin tertekan dengan lagak pemimpin mereka yang rakus. Suara rakyat Perak agar mereka diberi peluang untuk memperbaiki kerosakan yang berlaku tidak diendahkan sama sekali. Rakyat Perak mahukan mereka diberi peluang untuk menjadi penentu pemimpin dan kerajaan yang mereka mahukan. Mengapa begitu sukar untuk kembali kepada rakyat ?

Ini semua pasti akan menerima pembalasan dari Allah yang Maha Esa.Akibat dari perbuatan mereka, kini Umno/Bn mulai terhimpit dengan berbagai masalah dan `petaka'. Parti komponen mereka seringkali tidak sependapat dengan mereka bahkan kadangkala bersuara seperti pembangkang. Parti PPP kini menjadi duri dalam daging buat Umno.

Kini, PPP punyai 2 Presiden yang telah `di pecat'. Masalah dalaman Umno di Terengganu amat kritikal dan menunggu masa untuk terkubur. Umno di Selangor, Kedah dan Terengganu khususnya semakin lumpuh, maka terpaksa diketuai oleh pemimpin ` import' bagi memulihkan semangat ahli Umno di negeri tersebut. Siapa boleh terbayang betapa Pengerusi Perhubungan Umno Kedah boleh dipegang oleh rakyat Sabah? Tidakkah Umno Kedah terasa malu? Dan, benarkah Umno sememangnya tidak tahu erti malu ?

`Petaka' buat Umno bertambah apabila lepas satu, satu pilihanraya kecil terpaksa mereka hadapi. Pilihanraya kecil yang lepas terlalu berat untuk Umno mengubati luka parahnya, kini terpaksa pula hadapi dua lagi pilihanraya kecil iaitu di Dun Penanti dan Manik Urai. Apalah malang nasib yang menimpa Najib selaku PM yang baru. Najib dilihat bukan mengubati luka lama yang melanda Umno sewaktu era Pak Lah, tetapi Najib telah menambahkan lagi luka buat Umno.

Tanda-tanda bahawa Umno akan ditalkinkan semakin jelas dan kita akan menyaksikan nanti bahawa `nyawa' pada jasad Umno akan ditarik keluar melalui ` ubun-ubun' Najib. Selepas itu, Umno akan kekal sebagai bahan sejarah.

WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com

Ahad, Mei 17, 2009

AHMAD SAID KEKAL MB SAMPAI BILA?


AHMAD SAID TERUS AKAN JADI MB TERENGGANU
- Terengganu Lening).

Datuk Ahmad Said akan kekal sebagai Menteri Besar Terengganu kerana Umno tidak memutuskan sebarang perubahan kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri setakat ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, perubahan jawatan Menteri Besar tidak pernah berbangkit.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran berkata demikian selepas merasmikan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-38 di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, di sini, hari ini.

Isnin, Mei 11, 2009

UMNO TERENGGANU DIROMBAK - malaysiakini

Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan membuat rombakan kepimpinan Umno Terengganu selepas beliau menemui ketua-ketua Umno bahagian di negeri itu.Keputusan itu dibuat selepas naib presiden Umno itu mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Datuk Ahmad Said di pejabat Hishammuddin di Putrajaya hari ini.

Seorang pembantu Ahmad ketika dihubungi hari ini berkata, Hishamuddin akan mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua Umno bahagian secepat mungkin.

"Datuk Seri Hishammuddin hendak mendengar pandangan ketua-ketua bahagian terlebih dahulu sebelum membuat pelantikan baru," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hishammuddin yang juga menteri dalam negeri dilantik sebagai pengerusi Umno Terengganu dalam rombakan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau menggantikan Ahmad yang kini dilantik sebagai timbalan pengerusi Umno Terengganu.Umno Terengganu menghadapi kemelut politik apabila 18 ADUN BN mahu Ahmad disingkirkan dari jawatan menteri besar.

Sementara itu, Ketua Umno bahagian Marang, Yahaya Khatib Mohamad berkata, keputusan untuk mendengar pandangan dari ketua bahagian untuk melantik kepimpinan baru merupakan satu langkah yang tepat.

"Datuk Seri Hishammuddin perlu mendengar masalah sebenar yang berlaku di Terengganu dari ketua-ketua bahagian Umno.

"Kemudian beliau mengambil langkah mengatasinya. Bagi saya lagi cepat, lagi bagus," katanya.

Seorang ADUN Umno yang menentang Ahmad berkata, keputusan untuk mendengar pandangan dari ketua bahagian merupakan satu tindakan yang bijak dan dialu-alukan.

Bagaimanapun, kata ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad, jika mahu mendengar pandangan mengenai menteri besar, semua ADUN BN perlu dipanggil.

"Tetapi oleh kerana ini urusan parti, cukuplah Datuk Seri Hishammuddin mendapatkan penerangan dari ketua-ketua Umno bahagian," tambahnya.

Jumaat, Mei 08, 2009

MB TRG AKAN DIGANTI?

Tersebar luas berita kononnya Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said akan ditukar pada 12 Mei ini (enam hari dari hari ini). Berita ini disebarkan di Kuala Lumpur. Orang di Terengganu mungkin tidak ramai yang mengetahuinya. Punca berita dikatakan terpancut keluar daripada mulut Ketua Perhubungan UMNO Terengganu yang dilantik oleh Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Hishamuddin Hussein bahawa Menteri Besar Terengganu akan diganti. Kalau bohong saya, bohonglah beberapa orang penting akhbar arus perdana.

Hishamuddin dalam pertemuan dengan sekumpulan kecil wartawan memberi hint berkenaan dan orang penting surat khabar bercakap mengenai perkara ini di mana-mana. Punca sebenar Ahmad Said mahu digantikan dikatakan dikaitkan dengan beberapa siri desakan 10 ADUN yang tidak berpuashati dengan Menteri Besar itu.

Sesiapa pun akan percaya dengan ‘hebahan awal itu’ kerana Hishamuddin, selain kini Ketua Perhubungan UMNO Terengganu, juga Naib Presiden UMNO. Lebih penting, ia rapat dengan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak. Sepupunya pun!

Hishamuddin juga dikatakan rapat dengan beberapa pemimpin Pemuda UMNO Terengganu yang dilihat rapat dengan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh. Menurut orang penting surat khabar, Hishamuddin membuat hebahan itu selepas bertemu dengan orang penting istana Terengganu beberapa hari lalu. Malah, dikatakan pertemuan di puncak bukit itu turut disertai beberapa ‘orang istana’ dan juga pegawai tinggi Kerajaan Terengganu.

Pegawai tinggi ini dikatakan ‘kurang senang’ dengan Ahmad Said malah beberapa kali bertukar pesanan ringkas (sms) dengan rakan-rakannya – malah dari Rome – bertanyakan ‘bila Ahmad Said akan diganti’.

Untuk rekod saya tidak diberitahu dengan jelas siapa orang istana dimaksudkan kerana aneh juga jika pertemuan diadakan di puncak bukit, apa gerangan ‘orang istana’ mahu menghadirkan diri.

Yang menariknya dikatakan juga, Ahmad Said turut dipanggil ke istana (istana mana saya tidak tahu) pada Isnin lalu. Apa hasil pertemuan itu tiada siapa yang tahu kerana dikatakan pertemuan ‘empat mata’.

Sejauh ini difahamkan, pertemuan antara Pengerusi dan Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Terengganu (Ahmad Said) belum berlaku. Sejak pulang dari mesyuarat UNESCO, Hishamuddin dikatakan sibuk.

Bagaimanapun, dilaporkan pertemuan tidak rasmi antaranya dengan beberapa kumpulan UMNO tertentu sudah berlaku. ’Ini tidak hairan kerana Hishamuddin kerap juga ke Kuala Terengganu kerana ada misi tersendiri yang beliau dan rakan-rakan Pemuda UMNO sahaja yang tahu.

Sehingga ini belum jelas apa janji ‘orang istana’ dengan Hishamuddin dan apa pula janji yang diberikan oleh istana kepada Ahmad Said.

DATUK HISHAM MENGADAP AGONG

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini bagi berbincang mengenai situasi politik di Terengganu.

Ketika ditemui di pejabatnya di sini, Hishammuddin yang dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu berkata, pertemuan itu bertujuan bagi mendapatkan nasihat, bimbingan dan harapan Tuanku Mizan sebelum beliau turun ke Terengganu untuk bertemu pemimpin-pemimpin UMNO negeri berkenaan.

‘‘Perkara yang paling penting sebelum saya turun ke Terengganu ialah untuk menghadap Tuanku kerana saya rasa tidak kena kalau tidak menghadap Tuanku untuk mendapat pandangan,’’ katanya.

Hishammuddin yang kelihatan ceria selepas pertemuan tersebut berkata, beliau dan Tuanku Mizan berbincang panjang lebar mengenai situasi di Terengganu.

‘‘Saya tengok Tuanku mempunyai harapan untuk kebaikan dan masa depan rakyat Terengganu. Saya yakin Tuanku Mizan percaya kepada niat saya kerana saya ke Terengganu bukanlah bertujuan ‘memusnahkan’ negeri berkenaan tetapi untuk membantu,’’ katanya.

POLIS TERUS BURU DR RAMZI

KUALA TERENGGANU 8 Mei — Polis Terengganu memberi tempoh tiga hari mulai hari ini kepada Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, bekas setiausaha politik Datuk Seri Idris Jusoh, untuk tampil membantu siasatan berhubung kes penghantaran SMS berbentuk ugutan kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional Terengganu bulan lepas.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, SAC II Hamzah Mohd Jamil, berkata jika Ahmad Ramzi gagal berbuat demikian, polis akan mendapatkan waran tangkap terhadap beliau.

Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini bahawa polis telah cuba mengesan Ahmad Razmi, yang juga bekas calon BN bagi kerusi Parlimen Marang pada pilihan raya umum lepas, di kediaman beliau di sini dan Kuala Lumpur tetapi gagal.

Ahmad Ramzi diminta menemui atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Jabatan Siasatan Jenayah, Kuala Terengganu, ASP Mohd Hadzwan Zulkefle di talian 09-6246222.

Pada 13 April lepas, Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid, Adun Permaisuri, Abdul Halim Jusoh, dan Adun Paka, Zakaria Abdullah, menerima SMS berbentuk ancaman terhadap keselamatan mereka.- BERNAMA